KEBEBASAN BERAGAMA
Kebebasan beragama ialah prinsip yang menyokong kebebasan individu atau masyarakat untuk mengamalkan agama atau kepercayaan samada secara tertutup atau terbuka. Kebebasan beragama termasuk kebebasan dalam penukaran agama serta tidak mengikuti apa-apa agama. Dalam negara yang mengamalkan kebebasan beragama, agama-agama lain bebas diamalkan dan pemerintah tidak akan menghukum atau menindas pengikut kepercayaan yang berbeza dengan agama rasmi negara. Perkara 18 dalam Kovenan Antarabangsa PBB tentang Hak-Hak Sivil dan Politik menyatakan dasar yang menafikan kebebasan seseorang untuk mengamalkan agamanya adalah suatu kezaliman dari segi kerohanian. Kebebasan beragama merupakan satu konsep perundangan yang berkaitan, namun tidak serupa dengan toleransi agama, pemisahan di antara agama dan negara atau negara sekular.
Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang diterima oleh 50 anggota Perhimpunan Agung PBB pada 10 Disember 1948, dengan lapan berkecuali di Paris, mentakrifkan kebebasan beragama sebagai:
"Setiap orang berhak kepada kebebasan berfikir, berkeyakinan dan beragama; hak-hak ini termasuk kebebasan untuk menukar agama atau kepercayaan, dan kebebasan, sama ada bersendirian atau dalam masyarakat bersama orang lain dan dalam ruang terbuka atau peribadi, untuk menzahirkan agama atau kepercayaannya dalam pengajaran, perbuatan, penyembahan dan pengamalan agama."
Kebebasan beragama merupakan salah satu hak kebebasan asasi yang diiktiraf oleh Malaysia kepada setiap warganegara di bawah Perlembagaan Persekutuan. Pada peringkat antarabangsa, pengiktirafan telah diberikan terhadap hak kebebasan beragama antaranya melalui instrumen antarabangsa seperti Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR 1948) serta Waad Antarabangsa Berkaitan Hak Sivil dan Politik 1966 (ICCPR 1966). Kebanyakan negara di dunia juga mempunyai peruntukan mengenai kebebasan beragama walaupun liputan terhadap tahap kebebasan khususnya hak untuk menukar agama yang berbeza antara sesebuah negara dengan negara yang lain.
1. KONSEP
KEBEBASAN BERAGAMA
Perkataan
agama membawa maksud kepercayaan kepada kewujudan Tuhan atau dewa-dewa,
yang telah mencipta alam sejagat dan telah memberi kepada manusia sifat
kerohanian yang terus wujud selepas badannya mati.
Menurut
kamus undang-undang, kebebasan beragama ialah hak untuk mengikut kepercayaan
agama sebagaimana yang dipilih oleh seseorang hak untuk menyatakan pegangan
agama secara terbuka tanpa ketakutan atau halangan akan dikenakan sesuatu
tindakan serta hak untuk mengisytiharkan kepercayaan melalui pemujaan dan
amalan, ajaran dan sebaran.
Walau
bagaimanapun, terdapat penulis yang berpendapat bahawa tiada tafsiran yang
komprehensif terhadap perkataan “kebebasan”. Perkataan kebebasan dalam
konteks mana-mana sistem perundangan di dunia ini merujuk keupayaan individu
untuk bercakap atau melakukan apa-apa tindakan yang diingini atau mengelakkan
diri daripada melakukan sesuatu tanpa melanggar hak orang lain atau sekatan
yang dikenakan oleh undang-undang.
Kebebasan
beragama mengambil masa yang lama untuk diperoleh. Contohnya di England, selama
berabad-abad lamanya, para hakim memutuskan bahawa agama Kristian merupakan
sebahagian daripada undang-undang. Penafiannya merupakan satu jenayah yang
boleh dihukum. Rasional peruntukan ini adalah kerana penafian Kristian boleh
merosakkan masyarakat yang berasaskan agama Kristian. Walau bagaimanapun,
prinsip ini telah dihapuskan lebih 30 tahun lalu.
Konsep kebebasan
beragama adalah berbeza antara negara Islam dengan Barat. Kebebasan beragama
menjadi penting dalam undang-undang Islam kerana sistem perundangan Islam tidak
mewujudkan pengasingan antara undang-undang dan prinsip agama.
“Tiada apa-apa jenis kuasa di negara Islam
boleh digunakan untuk memaksa orang untuk memeluk Islam. Fungsi asas negara
Islam, dalam hal ini, adalah untuk memantau dan menghalang kuasa-kuasa yang
mungkin berusaha untuk menafikan rakyat kebebasan kepercayaan.”
-Fathi Uthman-
Di Barat pula, sistem liberal kebebasan
beragama hanya boleh dipertahankan dengan memisahkan secara keseluruhan gereja
dan negara. Hasilnya, masyarakat menjadi sekular dan pembahagian kehidupan
rakyat kepada dua bidang, iaitu objektif merujuk urusan negara dan subjektif
merujuk urusan persendirian. Agama telah dikeluarkan daripada menjadi urusan
negara dan dijadikan urusan persendirian.
Ada pihak mengakui mengenai kesukaran negara
untuk tidak mencampurkan hal agama dengan sistem pemerintahan. Oleh itu,
kebanyakan negara bukan Islam mengehadkan manifestasi ajaran agama namun cuba
untuk tidak mencampuri urusan penukaran agama yang dianggap sebagai hak dan
urusan dalaman individu.
Sehubungan itu, tidak
semua negara menerima pakai instrumen antarabangsa seperti UDHR 1948 dan ICCPR
1966 yang membolehkan individu menukar agama tanpa halangan. Negara Islam
seperti Arab Saudi tidak menerima UDHR 1948 atas alasan Islam melarang keras
umatnya meninggalkan agama Islam. Pakistan yang juga sebuah negara Islam walau
bagaimanapun menyokong peruntukan UDHR 1948 atas alasan Islam juga menggalakkan
kebebasan beragama namun tetap tegas dalam mengenakan hukuman mandatori bagi
mereka yang murtad di bawah undang-undang jenayah negara berkenaan bersesuaian
dengan kewujudan Pakistan sebagai negara Islam dalam Perlembagaan.
2. PERMULAAN PERTIKAIAN MENGENAI KEBEBASAN
BERAGAMA DI MALAYSIA
Pertikaian
mengenai isu agama telah lama wujud sejak zaman penjajahan Inggeris lagi. Hal
ini demikian kerana agama Islam 1mendapat pengiktirafan Inggeris sebagai agama
terpakai dalam soal peribadi masyarakat Tanah Melayu pada masa tersebut. Isu
agama termasuklah hak menukar agama diakui masih wujud secara berterusan dan
sukar dibendung selagi undang-undang sedia ada tidak diperkemas.
Pertikaian
mengenai kebebasan beragama pula muncul dengan kes Re Maria Hertogh dan kes Re
Mohamed Said Nabi.
Jika dilihat
kes tersebut kebanyakannya membabitkan masuk dan keluar daripada agama Islam.
Terjadinya perkara itu adalah kerana di Malaysia, agama Islam menjadi anutan
sebahagian besar rakyatnya yang berbangsa Melayu dan agama ini merupakan agama
rasmi bagi Persekutuan. Oleh itu, sebarang isu mengenai keluar masuk agama
Islam mendapat perhatian rakyat dan menjadi isu yang sensitif untuk
dibincangkan. Tidak dinafikan bahawa fenomena tukar agama juga wujud dalam
agama lain selain agama Islam, namun begitu, kedudukannya tidak sama seperti
keluar dan masuk agama Islam di Malaysia bagi kaum lain mereka tertakluk pada
satu undang-undang yang berbeza, terpakai kepada penganutnya dan ditadbir di
bawah enakmen setiap Negeri. Disebabkan pemakaian undang-undang berbeza dan
juga kedudukan murtad dalam Islam serta beberapa faktor lain telah menyebabkan
keluar dan masuk Islam mendapat perhatian yang berbeza dan telah menjadi suatu
isu yang besar.
3. SIFAT
NEGARA DAN KAITANNYA DENGAN AMALAN KEBEBASAN BERAGAMA
Sifat
sesebuah negara sama ada negara berbentuk teokratik atau secular menentukan
tahap liputan hak kebebasan beragama khususnya hak untuk menukar agama. Hakikat
ini diakui wujud di Malaysia apabila sifat negara ini dijadikan sebagai asas
amalan dalam mengiktiraf hak untuk menukar agama.
Perlembagaan
Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan di
samping agama-agama lain yang boleh diamalkan secara aman dan damai menentukan
sifat negara ini. Peruntukan ini telah ditafsirkan oleh penulisan terdahulu
yang boleh dibahagikan kepada beberapa aliran perbincangan. Penulisan yang
menganjurkan Malaysia sebagai negara yang memberikan keistimewaan kepada agama
Islam. Oleh itu, Malaysia tidak boleh dilihat sebagai sebuah negara sekular,
sebaliknya sebagai sebuah negara yang mengamalkan undang-undang Syariah terhadap
masyarakat Islam dalam beberapa perkara termasuklah penukaran agama.
Dari segi amalan menukar agama di Malaysia,
masih wujud kekaburan dalam meletakkan hak tersebut kerana etnik Melayu yang
beragama Islam dikenakan aturan tertentu dalam melaksanakan hak untuk menukar
agama sedangkan etnik lain bebas untuk menukar agama. Halangan hanya wujud dari
segi sosial dan bukannya perundangan. Keadaan ini wujud kerana di Malaysia,
etnik yang berbeza dikawal oleh dua sistem undang-undang yang berbeza mengenai
kepercayaan beragama, iaitu undang-undang negara dan undang-undang agama
masing-masing.
Malaysia
juga dikatakan sebagai sebuah negara religio-sekular, iaitu negara Islam
sederhana bagi penganut Islam, manakala bagi golongan bukan Islam pula
undang-undang sekular diguna pakai.
4. TAFSIRAN PENULIS TERDAHULU
MENGENAI HAK MENUKAR AGAMA DI BAWAH PERKARA 11(1) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan
memperuntukkan bahawa tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan
agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4) mengembangkan agamanya. Peruntukan ini
mengiktiraf kewujudan pelbagau agama dalam masyarakat dan juga menjadi
peruntukan yang selalu digunakan apabia hak kebebasan beragama dinafikan. Terdapat
perdebatan sama ada peruntukan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan ini
mengiktiraf hak untuk menukar agama bagi semua warganegara Malaysia tanpa mengira
agama. Antara pihak yang mengusulkan bahawa Perkara 11(1) memperuntukkan
kebebasan dalam menukar agama bagi semua warganegara ialah Lee Min Choon.
Walaupun hak untuk keluar agama tidak
dinyatakan secara jelas sebagaimana dalam instrumen antarabangsa, Perkara 11(1)
dikatakan tetap meliputi hak kebebasan menukar agama kerana peruntukan
kebebasan beragama tidak bermakna tanpa hak untuk menukar agama. Walaupun halangan
seakan-akan wujud bagi orang Islam dalam melaksanakan hak untuk menukar agama,
tiada halangan bagi mereka yang menukar agama secara sukarela dan telah mencapai
umur 18 tahun.
Walaupun Malaysia tidak menerima UDHR 1946
dan ICCPR 1966, instrumen ini dikatakan tetap terpakai di Malaysia
melalui seksyen 4(4) Akta SUHAKAM 1999.
Oleh itu, hak untuk menukar agama adalah wujud
bagi semua warganegara Malaysia di bawah Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan
walaupun peruntukan melalui perkataan yang digunakan tidak menyebut secara
langsung perkataan “memilih” atau “menukar”. Kebebasan beragama
adalah sangat penting bagi Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang etnik,
dan sekatan terhadap kebebasan beragama di Malaysia di bawah Perkara 11(1)
hanya dari segi sebaran atau pengembangan agama lain terhadap orang Islam
berdasarkan peruntukan Fasal (4).
Hakikatnya, bagi orang Islam aturan dikenakan
melalui enakmen negeri sebelum seseorang diisytiharkan sebagai telah keluar
daripada agama Islam. Hal ini terbukti apabila negeri menyimpan daftar bagi
mereka yang keluar Islam. Ada negeri yang memperuntukkan perisytiharan keluar
Islam yang dilakukan tanpa mendapatkan keizinan mahkamah syariah adalah satu
kesalahan menghina Islam.
Kewujudan aturan ini juga menyebabkan
kekeliruan apabila segelintir pihak berpandangan bahawa hak untuk menukar agama
bagi orang Islam dinafikan sama sekali di Malaysia. Tidak dinafikan bahawa
orang Islam mengalami kesukaran untuk keluar Islam di Malaysia namun hal ini bukanlah
sesuatu yang mustahil.
5. ULASAN DAN PANDANGAN
Perbincangan tersebut memperlihatkan dua
aliran pandangan iaitu :
- Penulisan yang
menyatakan bahawa Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak untuk
menukar agama bagi semua warganegara.
- Penulisan yang
menafikan hak untuk menukar agama sebagai wujud bagi orang Islam di Malaysia
Jika diteliti penulisan yang mengatakan bahawa
penukaran agama dibenarkan di bawah Perkara 11(1) juga mengiktiraf pemakaian
aturan dalam melaksanakan hak ini bagi orang Islamdi bawah enakmen negeri
manakala penulisan yang menafikan hak menukar agama sebagai wujud juga
bersandarkan aturan yang dikenakan terhadap orang Islam di Malaysia dalam
melaksanakan hal ini.
Walaupun penulisan terdahulu berbeza pandangan
dari segi sifat negara dan cakupan hak di bawah Perkara 11(1) Perlembagaan
Persekutuan, sama ada mengiktiraf hak untuk menukar agama, pada pengakhirannya
hanya satu kesimpulan yang boleh dibuat. Tafsiran membawa maksud yang disepakati,
iaitu Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak untuk menukar
agama bagi semua warganegara tanpa mengira agama walaupun dengan ketiadaan
perkataan “menukar” atau “memilih” agama dalam peruntukan.
Amalan
di Malaysia tidak menafikan hak untuk menukar agama dan dengan itu penukaran
agama bukan merupakan satu persoalan di bawah Perlembagaan Persekutuan kerana
hak itu wujud dan diberikan kepada semua individu. Amalan mengenakan aturan
bagi orang Islam dalam mendapatkan perisytiharan keluar Islam melibatkan
pemakaian undang-undang peribadi orang Islam di bawah enakmen syariah negeri
masing-masing. Aturan yang dikenakan tidak bertentangan dengan Perlembagaan
Persekutuan memandangkan sifat negara yang mengiktiraf Islam sebagai agama
rasmi serta Senarai 2 jadual Kesembilan yang meletakkan hak perundangan kepad
kerajaan negeri dalam hal ehwal Islam walaupun tidak semua negeri mempunyai
peruntukan yang komprehensif berkaitan keluar Islam.