Tuesday, 13 February 2018

PENGENALAN KUMPULAN


TAJUK: AL-HURRIYYAH


KURSUS: 
DUA2022 PENGURUSAN DALAM ISLAM

ITEM: 
E-FOLIO

KELAS: 
DAT2A

NAMA PUAN :
SITI AISHAH BINTI OTHMAN



NAMA AHLI KUMPULAN:


PENGENALAN PRINSIP PENGURUSAN ISLAM

PENGENALAN PRINSIP PENGURUSAN ISLAM


PENGENALAN


Pengurusan Islam merupakan proses penting bagi mengendalikan manusia, organisasi dan matlamat pengurusan islam yang hendak dicapai berlandaskan Al-Quran dan Al-Hadis. Pengurusan Islam merangkumi peranan tauhid sebagai asas pengurusan Islam. Pendekatan Islam sebagai satu cara hidup yang menyeluruh dan bersepadu dalam melaksanakan pengurusan Islam, ia merupakan unsur penyerahan diri manusia sebagai khalifah di muka bumi yang tunduk dan patuh kepada perintah Allah s.w.t. Affendi Hassan berpendapat bahawa pengurusan islam ialah satu penggembelengan tenaga dan sumber, melalui perancangan, arahan dan kawalan dalam sesebuah organisasi mengikut prinsip dan nilai yang ditetapkan dalam Islam.



Sistem pengurusan Islam, sistem yang sangat lengkap dan sistematik kerana isinya berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Pengurusan Islam memainkan peranan penting dalam membentuk dan melahirkan pengurus, ketua, pemakmur, alam mengikut kerangka berfikir, nilai dan prinsip Islam.


MATLAMAT UMUM SYARIAH (MAQASID SYARIAH)


 Menururt konteks pengurusan Islam, objektif umum sesebuah organisasi   seharusnya tidak lari daripada matlamat umum syariah islamiah. Maqasid ini membuktikan bahawa Islam merupakan suatu sistem hidup yang lengkap, komprehensif dan relevan pada bila-bila masa dan sudah tentu boleh dilaksanakan dalam apa jua urusan kehidupan.

Maqasid syariah secara umumnya ialah lima prinsip islam yang asas

Menjaga Keselamatan Agama



⧫ Merupakan matlamat syariah yang pertama dan terpenting dalam kehidupan seorang muslim. Agama menjadi pemisah kualiti sebenar seorang muslim dan berkaitan rapat dengan soal akidah. Dalam konteks organisasi, aspek keagamaan perlu dititik beratkan.

⧫ Dalam masa yang sama, Islam mengharamkan segala bentuk perbualan yang membawa kepada syirik terhadap Allah.

⧫ Sabda Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesiapa yang menukar agamanya(murtad), maka bunuhlah dia."  
(Hadis Riwayat: Bukhari)

Menjaga Keselamatan Jiwa (Nyawa)


⧫ Salah satu tujuan atau maqasid al-syariah ialah menjaga dan memelihara jiwa (nyawa) serta tubuh badan manusia. Kegiatan yang boleh menggugat atau mangancam nyawa manusia hendaklah dihindari.

“Dengan sebab (pembunuhan kejam) yang demikian itu, kami tetapkan atas bani Israel, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu atau melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya”  
(Surah al-Maidah 5:32)


Menjaga Keselamatan Akal

⧫ Akal dan pemikiran perlu dijaga kerana ia merupakan anugerah Allah yang paling berharga kepada manusia. Selain itu, ia  merupakan keistimewaan yang membezakan manusia berbanding makhluk yang lain. 
  
⧫ Selain itu, kerana pentingnya kedudukan akal dalam kehidupan manusia, maka Islam mengharamkan segala unsur yang boleh merosakkan fungsi akal.


“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu,hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”  
(Surah al-Maidah 5:90)

Menjaga Keselamatan Maruah dan Keturunan


⧫ Memelihara maruah dan keturunan manusia merupakan salah satu matlamat syariah. Segala bentuk yang membawa kepada pencabulan maruah dan keturunan manusia adalah dilarang sama sekali.


⧫ Islam mengharamkan zina dari awal lagi kerana ia boleh merosakkan keturunan yang baik hasil daripada kelahiran anak luar nikah. Bukan sekadar itu sahaja, Islam mengharamkan perbuatan yang terlarang contohnya, berdua-duaan dan berkhalwat.

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakkan)" 
(Surah al- Isra’ 17:32)


Menjaga Keselamatan Harta



⧫ Menjaga dan memiliki harta merupakan salah satu tujuan atau maqasid al-syariah. Harta kekayaan merupakan rezeki kurniaan Ilahi kepada setiap makhluk yang menghuni alam semesta ini. Harta boleh memberi manfaat kerana jika harta tersebut digunakan menurut kehendak syarak, maka harta tersebut secara tidak langsung dapat memberikan manfaat kepada tuannya. Islam telah menggariskan beberapa panduan berkaitan mencari harta yang diwajibkan iaitu harta mestilah diperolehi melalui jalan atau cara yang halal. Selain itu, harta wajib dikeluarkan zakat apabila cukup nisab.

PENGENALAN AL-HURRIYAH

Al-Hurriyah 

Al-hurriyah atau kebebasan menjadi salah satu prinsip pengurusan islam. Prinsip ini bertitik tolak daripada hakikat pengiktirafan islam terhadap kebebasan yang manusia miliki sejak ia dilahirkan. Oleh itu, Islam menentang sebarang bentuk perhambaan tanpa sebarang alasan kecuali perhambaan terhadap Allah SWT.

Islam menjamin kebebasan manusia daripada aspek hak asasi kemanusiaan melibatkan perkara-perkara berikut:





Kebebasan dalam Islam dijamin untuk setiap individu, dengan mengambil kira beberapa perkara berikut:

 Ianya tidak mengganggu kepentingan orang lain, atau kepentingan awam. Hal ini kerana dalam Islam apabila bertembung antara kepentingan peribadi dengan kepentingan awam, kepentingan umum itu hendaklah didahulukan.

 Tidak mengganggu kepentingan organisasi. Ini membawa maksud kepentingan organisasi hendaklah diutamakan berbanding dengan kepentingan kebebasan diri.

 Kebebasan tersebut janganlah bercanggah dengan nilai dan prinsip agama. Jikalau bercanggah, maka dengan sendirinya ia terbatal.

Kebebasan dalam Islam terutamanya dalam kontrak sesebuah organisasi, kebebasan melambangkan penghargaan Islam terhadap hak yang dimiliki seseorang individu, selama mana ianya tidak melanggar batasan yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Kebebasan dalam hal ini juga membuka nilai kekreatifan, serta sifat keterbukaan yang dianjurkan oleh Islam yang akan menyumbang kearah kebaikan dan kecemerlangan organisasi.

KEBEBASAN BERAGAMA

KEBEBASAN BERAGAMA



Kebebasan beragama ialah prinsip yang menyokong kebebasan individu atau masyarakat untuk mengamalkan agama atau kepercayaan samada secara tertutup atau terbuka. Kebebasan beragama termasuk kebebasan dalam penukaran agama serta tidak mengikuti apa-apa agama. Dalam negara yang mengamalkan kebebasan beragama, agama-agama lain bebas diamalkan dan pemerintah tidak akan menghukum atau menindas pengikut kepercayaan yang berbeza dengan agama rasmi negara. Perkara 18 dalam Kovenan Antarabangsa PBB tentang Hak-Hak Sivil dan Politik menyatakan dasar yang menafikan kebebasan seseorang untuk mengamalkan agamanya adalah suatu kezaliman dari segi kerohanian. Kebebasan beragama merupakan satu konsep perundangan yang berkaitan, namun tidak serupa dengan toleransi agama, pemisahan di antara agama dan negara atau negara sekular.


Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang diterima oleh 50 anggota Perhimpunan Agung PBB pada 10 Disember 1948, dengan lapan berkecuali di Paris, mentakrifkan kebebasan beragama sebagai:

"Setiap orang berhak kepada kebebasan berfikir, berkeyakinan dan beragama; hak-hak ini termasuk kebebasan untuk menukar agama atau kepercayaan, dan kebebasan, sama ada bersendirian atau dalam masyarakat bersama orang lain dan dalam ruang terbuka atau peribadi, untuk menzahirkan agama atau kepercayaannya dalam pengajaran, perbuatan, penyembahan dan pengamalan agama."




Kebebasan beragama merupakan salah satu hak kebebasan asasi yang diiktiraf oleh Malaysia kepada setiap warganegara di bawah Perlembagaan Persekutuan. Pada peringkat antarabangsa, pengiktirafan telah diberikan terhadap hak kebebasan beragama antaranya melalui instrumen antarabangsa seperti Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR 1948) serta Waad Antarabangsa Berkaitan Hak Sivil dan Politik 1966 (ICCPR 1966). Kebanyakan negara di dunia juga mempunyai peruntukan mengenai kebebasan beragama walaupun liputan terhadap tahap kebebasan khususnya hak untuk menukar agama yang berbeza antara sesebuah negara dengan negara yang lain.


1.   KONSEP KEBEBASAN BERAGAMA


Perkataan agama membawa maksud kepercayaan kepada kewujudan Tuhan atau dewa-dewa, yang telah mencipta alam sejagat dan telah memberi kepada manusia sifat kerohanian yang terus wujud selepas badannya mati.

Menurut kamus undang-undang, kebebasan beragama ialah hak untuk mengikut kepercayaan agama sebagaimana yang dipilih oleh seseorang hak untuk menyatakan pegangan agama secara terbuka tanpa ketakutan atau halangan akan dikenakan sesuatu tindakan serta hak untuk mengisytiharkan kepercayaan melalui pemujaan dan amalan, ajaran dan sebaran.

Walau bagaimanapun, terdapat penulis yang berpendapat bahawa tiada tafsiran yang komprehensif terhadap perkataan “kebebasan”. Perkataan kebebasan dalam konteks mana-mana sistem perundangan di dunia ini merujuk keupayaan individu untuk bercakap atau melakukan apa-apa tindakan yang diingini atau mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu tanpa melanggar hak orang lain atau sekatan yang dikenakan oleh undang-undang.

Kebebasan beragama mengambil masa yang lama untuk diperoleh. Contohnya di England, selama berabad-abad lamanya, para hakim memutuskan bahawa agama Kristian merupakan sebahagian daripada undang-undang. Penafiannya merupakan satu jenayah yang boleh dihukum. Rasional peruntukan ini adalah kerana penafian Kristian boleh merosakkan masyarakat yang berasaskan agama Kristian. Walau bagaimanapun, prinsip ini telah dihapuskan lebih 30 tahun lalu.

Konsep kebebasan beragama adalah berbeza antara negara Islam dengan Barat. Kebebasan beragama menjadi penting dalam undang-undang Islam kerana sistem perundangan Islam tidak mewujudkan pengasingan antara undang-undang dan prinsip agama.


“Tiada apa-apa jenis kuasa di negara Islam boleh digunakan untuk memaksa orang untuk memeluk Islam. Fungsi asas negara Islam, dalam hal ini, adalah untuk memantau dan menghalang kuasa-kuasa yang mungkin berusaha untuk menafikan rakyat kebebasan kepercayaan.”

-Fathi Uthman-

Di Barat pula, sistem liberal kebebasan beragama hanya boleh dipertahankan dengan memisahkan secara keseluruhan gereja dan negara. Hasilnya, masyarakat menjadi sekular dan pembahagian kehidupan rakyat kepada dua bidang, iaitu objektif merujuk urusan negara dan subjektif merujuk urusan persendirian. Agama telah dikeluarkan daripada menjadi urusan negara dan dijadikan urusan persendirian.

Ada pihak mengakui mengenai kesukaran negara untuk tidak mencampurkan hal agama dengan sistem pemerintahan. Oleh itu, kebanyakan negara bukan Islam mengehadkan manifestasi ajaran agama namun cuba untuk tidak mencampuri urusan penukaran agama yang dianggap sebagai hak dan urusan dalaman individu.

Sehubungan itu, tidak semua negara menerima pakai instrumen antarabangsa seperti UDHR 1948 dan ICCPR 1966 yang membolehkan individu menukar agama tanpa halangan. Negara Islam seperti Arab Saudi tidak menerima UDHR 1948 atas alasan Islam melarang keras umatnya meninggalkan agama Islam. Pakistan yang juga sebuah negara Islam walau bagaimanapun menyokong peruntukan UDHR 1948 atas alasan Islam juga menggalakkan kebebasan beragama namun tetap tegas dalam mengenakan hukuman mandatori bagi mereka yang murtad di bawah undang-undang jenayah negara berkenaan bersesuaian dengan kewujudan Pakistan sebagai negara Islam dalam Perlembagaan. 


2.  PERMULAAN PERTIKAIAN MENGENAI KEBEBASAN BERAGAMA DI MALAYSIA

Pertikaian mengenai isu agama telah lama wujud sejak zaman penjajahan Inggeris lagi. Hal ini demikian kerana agama Islam 1mendapat pengiktirafan Inggeris sebagai agama terpakai dalam soal peribadi masyarakat Tanah Melayu pada masa tersebut. Isu agama termasuklah hak menukar agama diakui masih wujud secara berterusan dan sukar dibendung selagi undang-undang sedia ada tidak diperkemas.

Pertikaian mengenai kebebasan beragama pula muncul dengan kes Re Maria Hertogh dan kes Re Mohamed Said Nabi.

Jika dilihat kes tersebut kebanyakannya membabitkan masuk dan keluar daripada agama Islam. Terjadinya perkara itu adalah kerana di Malaysia, agama Islam menjadi anutan sebahagian besar rakyatnya yang berbangsa Melayu dan agama ini merupakan agama rasmi bagi Persekutuan. Oleh itu, sebarang isu mengenai keluar masuk agama Islam mendapat perhatian rakyat dan menjadi isu yang sensitif untuk dibincangkan. Tidak dinafikan bahawa fenomena tukar agama juga wujud dalam agama lain selain agama Islam, namun begitu, kedudukannya tidak sama seperti keluar dan masuk agama Islam di Malaysia bagi kaum lain mereka tertakluk pada satu undang-undang yang berbeza, terpakai kepada penganutnya dan ditadbir di bawah enakmen setiap Negeri. Disebabkan pemakaian undang-undang berbeza dan juga kedudukan murtad dalam Islam serta beberapa faktor lain telah menyebabkan keluar dan masuk Islam mendapat perhatian yang berbeza dan telah menjadi suatu isu yang besar.


3.   SIFAT NEGARA DAN KAITANNYA DENGAN AMALAN KEBEBASAN BERAGAMA

Sifat sesebuah negara sama ada negara berbentuk teokratik atau secular menentukan tahap liputan hak kebebasan beragama khususnya hak untuk menukar agama. Hakikat ini diakui wujud di Malaysia apabila sifat negara ini dijadikan sebagai asas amalan dalam mengiktiraf hak untuk menukar agama.

Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan di samping agama-agama lain yang boleh diamalkan secara aman dan damai menentukan sifat negara ini. Peruntukan ini telah ditafsirkan oleh penulisan terdahulu yang boleh dibahagikan kepada beberapa aliran perbincangan. Penulisan yang menganjurkan Malaysia sebagai negara yang memberikan keistimewaan kepada agama Islam. Oleh itu, Malaysia tidak boleh dilihat sebagai sebuah negara sekular, sebaliknya sebagai sebuah negara yang mengamalkan undang-undang Syariah terhadap masyarakat Islam dalam beberapa perkara termasuklah penukaran agama.

Dari segi amalan menukar agama di Malaysia, masih wujud kekaburan dalam meletakkan hak tersebut kerana etnik Melayu yang beragama Islam dikenakan aturan tertentu dalam melaksanakan hak untuk menukar agama sedangkan etnik lain bebas untuk menukar agama. Halangan hanya wujud dari segi sosial dan bukannya perundangan. Keadaan ini wujud kerana di Malaysia, etnik yang berbeza dikawal oleh dua sistem undang-undang yang berbeza mengenai kepercayaan beragama, iaitu undang-undang negara dan undang-undang agama masing-masing.

Malaysia juga dikatakan sebagai sebuah negara religio-sekular, iaitu negara Islam sederhana bagi penganut Islam, manakala bagi golongan bukan Islam pula undang-undang sekular diguna pakai.


4.   TAFSIRAN PENULIS TERDAHULU MENGENAI HAK MENUKAR AGAMA DI BAWAH PERKARA 11(1) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN


Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4) mengembangkan agamanya. Peruntukan ini mengiktiraf kewujudan pelbagau agama dalam masyarakat dan juga menjadi peruntukan yang selalu digunakan apabia hak kebebasan beragama dinafikan. Terdapat perdebatan sama ada peruntukan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan ini mengiktiraf hak untuk menukar agama bagi semua warganegara Malaysia tanpa mengira agama. Antara pihak yang mengusulkan bahawa Perkara 11(1) memperuntukkan kebebasan dalam menukar agama bagi semua warganegara ialah Lee Min Choon.

Walaupun hak untuk keluar agama tidak dinyatakan secara jelas sebagaimana dalam instrumen antarabangsa, Perkara 11(1) dikatakan tetap meliputi hak kebebasan menukar agama kerana peruntukan kebebasan beragama tidak bermakna tanpa hak untuk menukar agama. Walaupun halangan seakan-akan wujud bagi orang Islam dalam melaksanakan hak untuk menukar agama, tiada halangan bagi mereka yang menukar agama secara sukarela dan telah mencapai umur 18 tahun.

Walaupun Malaysia tidak menerima UDHR 1946 dan ICCPR 1966, instrumen ini dikatakan tetap terpakai di Malaysia melalui seksyen 4(4) Akta SUHAKAM 1999.

Oleh itu, hak untuk menukar agama adalah wujud bagi semua warganegara Malaysia di bawah Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan walaupun peruntukan melalui perkataan yang digunakan tidak menyebut secara langsung perkataan “memilih” atau “menukar”. Kebebasan beragama adalah sangat penting bagi Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang etnik, dan sekatan terhadap kebebasan beragama di Malaysia di bawah Perkara 11(1) hanya dari segi sebaran atau pengembangan agama lain terhadap orang Islam berdasarkan peruntukan Fasal (4).

Hakikatnya, bagi orang Islam aturan dikenakan melalui enakmen negeri sebelum seseorang diisytiharkan sebagai telah keluar daripada agama Islam. Hal ini terbukti apabila negeri menyimpan daftar bagi mereka yang keluar Islam. Ada negeri yang memperuntukkan perisytiharan keluar Islam yang dilakukan tanpa mendapatkan keizinan mahkamah syariah adalah satu kesalahan menghina Islam.

Kewujudan aturan ini juga menyebabkan kekeliruan apabila segelintir pihak berpandangan bahawa hak untuk menukar agama bagi orang Islam dinafikan sama sekali di Malaysia. Tidak dinafikan bahawa orang Islam mengalami kesukaran untuk keluar Islam di Malaysia namun hal ini bukanlah sesuatu yang mustahil.


5.   ULASAN DAN PANDANGAN


Perbincangan tersebut memperlihatkan dua aliran pandangan iaitu :

  • Penulisan yang menyatakan bahawa Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak untuk menukar agama bagi semua warganegara.
  • Penulisan yang menafikan hak untuk menukar agama sebagai wujud bagi orang Islam di Malaysia


Jika diteliti penulisan yang mengatakan bahawa penukaran agama dibenarkan di bawah Perkara 11(1) juga mengiktiraf pemakaian aturan dalam melaksanakan hak ini bagi orang Islamdi bawah enakmen negeri manakala penulisan yang menafikan hak menukar agama sebagai wujud juga bersandarkan aturan yang dikenakan terhadap orang Islam di Malaysia dalam melaksanakan hal ini.

Walaupun penulisan terdahulu berbeza pandangan dari segi sifat negara dan cakupan hak di bawah Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan, sama ada mengiktiraf hak untuk menukar agama, pada pengakhirannya hanya satu kesimpulan yang boleh dibuat. Tafsiran membawa maksud yang disepakati, iaitu Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak untuk menukar agama bagi semua warganegara tanpa mengira agama walaupun dengan ketiadaan perkataan “menukar” atau “memilih” agama dalam peruntukan.

Amalan di Malaysia tidak menafikan hak untuk menukar agama dan dengan itu penukaran agama bukan merupakan satu persoalan di bawah Perlembagaan Persekutuan kerana hak itu wujud dan diberikan kepada semua individu. Amalan mengenakan aturan bagi orang Islam dalam mendapatkan perisytiharan keluar Islam melibatkan pemakaian undang-undang peribadi orang Islam di bawah enakmen syariah negeri masing-masing. Aturan yang dikenakan tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan memandangkan sifat negara yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi serta Senarai 2 jadual Kesembilan yang meletakkan hak perundangan kepad kerajaan negeri dalam hal ehwal Islam walaupun tidak semua negeri mempunyai peruntukan yang komprehensif berkaitan keluar Islam.


KEBEBASAN BERSUARA

Kebebasan bersuara ialah seseorang individu berhak untuk bercakap atau mengeluarkan pendapatnya. Sama ada pendapatnya akan diterima atau tidak terpulang kepada pendengar. Namun begitu jika kata-katanya boleh menimbulkan keadaan huru hara di sesebuah negara, maka kebebasan tersebut mungkin terhalang.

Kebebasan bersuara juga adalah kebebasan untuk bersuara tanpa batas atau penapisan. Istilah yang bersinonim, kebebasan menyatakan pendapat kadangkala digunakan sebagai maksud kepada bukan sahaja kebebasan bersuara secara percakapan verbal, tetapi juga tindakan mencari, menerima dan menyebarkan maklumat atau idea, dengan tidak mengira medium yang digunakan. Kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat berkait dengan, tetapi berasingan dengan, konsep kebebasan berfikir atau kebebasan menilai. Dalam realiti, hak kebebasan bersuara tidak bersifat mutlak di mana-mana negara dan hak ini lazimnya dihadkan, misalnya dalam konteks "kebencian". Ini disebabkan menggunakan kebebasan bersuara selalunya dalam konteks amalan yang saling bertentangan.


Kebebasan bersuara juga memainkan peranan yang sangat penting dalam melindungi individu-individu yang mempunyai pendapat berbeza. Apabila pendapat golongan majoriti adalah tersilap, ianya adalah wajib untuk mereka dalam kelompok minoriti untuk menyuarakan kebenaran. Tanpa perlindungan ini, melalui kebebasan bersuara, kebenaran tidak akan terbukti. Oleh kerana terdapat beberapa salah faham tentang konsep hak pada waktu ini, satu penjelasan diperlukan. Hak kepada kebebasan bersuara tidaklah bersamaan dengan hak kepada sesebuah forum atau platform di mana seseorang boleh mengutarakan pendapatnya.


KEBEBASAN MEMILIKI DAN MENCARI HARTA

KEBEBASAN MEMILIKI DAN MENGUMPUL HARTA






Setelah menjamin kebebasan untuk mencari harta dengan cara yang halal diperundangkan, harta yang diusahakan itu mestilah halal dari segi cara ia diperoleh, barangan yang terlibat dan cara ia dibelanjakan. Hal ini dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam ayat yang bermaksud :




"Orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakan ke jalan Allah, hendaklah diberikan khabar balasan dengan azab yang pedih. Pada hari mereka dibakar muka, rusuk dan punggung mereka, seraya dikatakan kepadanya inilah harta bendemu yang kamu simpan untuk dirimu. Maka rasailah balasan yang kamu simpan dahulu."
(Surah at-Taubah 9:34-35)




Untuk memelihara keselamatan harta benda yang menjadi hak milik halal bagi individu, tamadun Islam mengharamkan sebarang bentuk pencurian daripada sekecil-kecil harta serperti jarum hingga sebesar-besarnya. Hal ini dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam ayatNya yang bermaksud :




"Lelaki dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-duanya sebagai pembalasan daripada apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan daripada Allah."
(Surah al-Maa’idah 5:38)


Dengan itu, jangan la kita terlalu mengejarkan harta kekayaan didunia kerana dunia ini hanyalah tempat yang sementara. Dengan itu kita perlu sentiasa bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan kedapa kita dan jangan la sesekali menjadi manusia yang tidak puas mengumpul harta. Sabda Rasullulah :
Dari 'Atha` dia berkata; saya mendengar Ibnu Abbas RA berkata; saya mendengar Nabi SAW bersabda: "Sekiranya anak Adam memiliki harta sebanyak dua bukit, nescaya ia akan mengharapkan untuk mendapatkan bukit yang ketiga, dan tidaklah perut anak Adam itu dipenuhi melainkan dengan tanah, dan Allah menerima taubat siapa saja yang bertaubat."  
(HR Bukhari No: 5956) Status: Hadis Sahih



PENGAJARAN


 "SEBELUM KAMI MENGUNDURKAN DIRI, KITA BOLEH MENGAMBIL PENGAJARAN DARIPADA AL-HURRIYAH YANG TELAH KAMI TERANGKAN DI BLOG INI. SEMOGA KITA TERGOLONG DALAM KALANGAN ORANG YANG BERIMAN"





➥ Kebebasan beragama dibenarkan Islam dan sebagai orang Islam kita perlu menunjukkan sifat-sifat yang mulia kepada orang bukan Islam agar mereka tertarik kepada Islam.

➥ Islam juga mengajar kita agar menerima apa saja teguran yang diberikan sama ada daripada muslim mahupun not-yet-muslim.

➥ Manusia tidak akan pernah merasa puas dengan harta. Itulah sifat dan watak manusia kecuali seseorang yang telah Allah berikan taufik dan hidayah.

➥ Manusia yang sibuk mencari harta, walaupun telah memiliki sejumlah harta, masih tidak akan merasa cukup dengan apa yang ada.

➥ Musthofa Al Bugho dalam kitab Syarh Riyadhus Sholihin : “tidak ada yang memenuhi perutnya kecuali tanah” bermaksud ia terus menerus memenuhi nafsu dirinya dengan harta sampai ia mati dan di kuburnya isi perutnya dipenuhi dengan tanah kuburan.




السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

RUJUKAN

RUJUKAN











PENGENALAN KUMPULAN

TAJUK: AL-HURRIYYAH KURSUS:  DUA2022 PENGURUSAN DALAM ISLAM ITEM:  E-FOLIO KELAS:  DAT2A NAMA PUAN : SITI AI...